BARAH OTAK
Sesetengah virus berupaya untuk mencetuskan barah. Bagi beberapa virus berDNA jangkitan normal virus terhadap perumah boleh menyebabkan tumor benigna manakala beberapa virus lain pula menghasilkan tumor malignan. Beberapa virus berRNA telahpun dikenalpasti boleh menyebabkan penyakit neoplastik.
Tumorigenesis adalah proses berbilang peringkat dengan transformasi merupakan langkah pertama. Pembentukan tumor membabitkan hubungkait yang kompleks dengan sistem imunologi perumah. Tiada mekanisma tunggal bagi virus mengaruh tumor.
SEL NORMAL
Umumnya, setiap organisma hidup adalah berasaskan kepada sekumpulan sel normal yang membentuk tisu dan seterusnya organ tubuh. Di samping itu sel juga bertanggungjawab dalam mengawalatur kestabilan, keseragaman dan kesempurnaan fungsi tubuh sesuatu organisma tersebut. Kegagalan dalam fungsi sesuatu organ tubuh organisma biasanya berpunca daripada ketaknormalan yang berlaku terhadap sel teras organ. Contohnya dalam hipertiroidisme iaitu kegagalan fungsi kelenjar tiroid yang berlaku disebabkan sel kelenjar tidak lagi mampu untuk mengawal kitar mitosis menyebabkan perembesan hormon tiroid yang berlebihan. Kegagalan mengawal kitar mitosis boleh membawa kepada penyakit lain yang disebut sebagai kanser. Kegagalan ini melibatkan beberapa faktor termasuk faktor genetik yang tersimpan di dalam molekul asid deoksiribonukleik (DNA). Dalam hal ini jujukan DNA terganggu akibat mutasi yang berlaku pada bes-bes teras rangkaian asas DNA itu sendiri, di samping pelbagai kemungkinan.
SEL ABNORMAL: KANSER
Penyakit kanser memang berkemampuan untuk menimbulkan kerisauan terhadap diri pesakit disebabkan keganasannya menular ke seluruh tubuh sehingga sukar untuk dibendung. Walau bagaimanapun rawatan semasa untuk penyakit kanser semakin bertambah maju meliputi pembedahan, radiasi dan kemoterapi yang menjadi pilihan kebanyakan onkologis masa kini. Rawatan harus diterima secepat mungkin iaitu sebelum kanser mencapai ke tahap lanjut apabila rawatan menjadi semakin sukar. Agar pembaca lebih memahami, di sini diberikan tahap perkembangan kanser, contohnya dalam kanser payudara yang disenaraikan seperti dalam Jadual.
ISTILAH KANSER
Kanser adalah merujuk populasi sel yang membahagi di luar proses kawalan normal yang tumbuh seolah-olah tanpa sekatan. Definisi kanser pada amnya berdasarkan kriteria morfologi sel mengikut garis panduan yang diberikan oleh ahli histopatologi. Penamaan kanser pula berdasarkan kepada jenis organ atau tisu di mana kanser mula menular. Hingga kini terdapat lebih kurang 200 jenis kanser yang berbeza yang telah dikenal pasti pada manusia. Contohnya, kanser payudara dinamakan berdasarkan pembentukannya di dalam payudara yang biasanya ditemui oleh pesakit atau doktor sebagai satu ketulan yang tidak menyakitkan serta dapat bergerak dengan mudah.
Berlainan dengan situasi yang berlaku dalam embrio dan fetus, kadar pertumbuhan sel normal jauh berlebihan jika dibandingkan dengan sel kanser, namun pertumbuhan tersebut adalah terkawal dan berhenti pada masa tertentu. Ini adalah berbeza daripada sel kanser yang mana tiada unsur yang bertindak mengawal pertumbuhannya.
Dalam proses hayat sel normal, sel membahagi atau berganda dalam julat masa tertentu. Sel akan memainkan fungsinya dan mengalami kematian, kemudian diganti oleh sel yang seiras dan proses yang sama diulangi. Sel kanser pula berterusan mereplikasi kepada dua sel yang berfungsi sepenuhnya tanpa kawalan, dan setiap satu akan bereplikasi lagi secara geometrik. Fenomena pertumbuhan kanser bukanlah disebabkan oleh kelajuan pergandaan yang dimiliki oleh sel tersebut tetapi berlakunya kegagalan mengawal pembahagian sel sehingga tiada hadnya. Kanser boleh dimulai dengan hanya satu sel yang mengalami pemesongan daripada sel asal di antara jutaan sel yang terdapat dalam tubuh. Biarpun hanya terdapat sebilangan kecil sel yang menimbulkan masalah besar, tetapi sekiranya sel ini menembusi sistem limfa atau aliran darah, sel secara pantas dapat menular ke tempat tertentu dalam tubuh.
Bagi sesuatu tisu yang mengalami gangguan kawalan pertumbuhan akan menimbulkan fenomena neoplasma ataupun tumor. Neoplasma boleh dikelaskan sebagai benigna ataupun malignan, bergantung kepada cara penyebarannya. Tumor jenis benigna wujud dalam bentuk nodus berkapsul yang terdiri daripada tisu neoplastik, maka tumor ini tidak tersebar atau tidak bermetastasis kepada sel lain di sekelilingnya. Sementara malignan pula biasanya menyerang tisu jirannya dan bermetastasis iaitu berupaya menular ke bahagian anggota tubuh yang lain. Rawatan perlu didapatkan sebelum metastasis berlaku.
KENAPA SEL KANSER GANAS?
Kejadian kanser bukanlah hasil daripada proses hayat semula jadi tetapi suatu unsur lanjutan daripada aberasi kromosom. Semua hidupan termasuk manusia terdiri daripada sel yang gabungannya membentuk tisu dan seterusnya organ yang kesemuanya berperanan bagi membantu sesuatu organisma itu berfungsi secara sempurna. Dalam proses normal, setiap sel dan organ menepati struktur dan fungsi. Setiap sel memelihara kedudukan dan fungsinya, tanpa menyerang sel jirannya. Juga di dalam sesuatu organisasi normal, terdapat mekanisma tertentu yang mengawal atur pertumbuhan sel serta interaksi di antara satu sel dengan sel lain. Tetapi pertumbuhan sel malignan menjadi tidak terhad di samping mengalami ubah suai dalam struktur sehingga membolehkan sel melakukan penembusan atau penembusan separa ke kawasan sel jirannya. Oleh itu, sel kanser mengalami gangguan anatomi, morfologi dan histologi yang membawa kepada berlakunya keabnormalan sel tersebut.
PENGKELASAN TUMOR
Unsur yang penting dalam mengkelaskan tumor adalah berdasarkan asal usul kelas tisu tumor terbentuk yang boleh dibahagi kepada tiga kategori, iaitu: karsinoma, sarkoma, limfoma, leukemia, eritroblastoma dan mieloma. Karsinoma merujuk kepada kanser yang berpunca atau terbit daripada tisu epitelium, iaitu sel yang melapisi sesuatu kelenjar atau organ tubuh seperti kulit, lapisan salur usus dan salur pernafasan.
Sarkoma merujuk kepada kanser yang berasal daripada tisu perantara yang berperanan menyokong struktur tubuh seperti otot dan tulang. Limfoma, leukemia, eritroblastoma dan mieloma. Kesemuanya melibatkan tisu pembina darah seperti sum-sum tulang, limpa dan nodus limfa, termasuk sistem leukositik.
TUMOR EPITELIUM RINGKAS
Tumor jenis ini biasanya dibahagikan kepada dua jenis iaitu adenoma dan papiloma.
Adenoma
Adenoma ialah suatu unjuran daripada struktur asinus dan duktus pada kelenjar. Pembentukan unjuran atau tubul terhasil akibat proliferasi sel yang berlaku pada epitelium kelenjar. Adenoma mudah terpisah secara sempurna daripada kelenjar induk, membentuk suatu struktur berasingan dan pembentukannya.
Pembentukan tunas pada epitelium tisu perantara yang bersebelahan pula akan menghasilkan asinus yang baru dan terasing sama sekali daripada asinus induk. Dalam keadaan tertentu, bentuk sis ditemui dan dikenali sebagai sistadenoma yang boleh mencapai saiz yang agak luar biasa. Contohnya adalah pada ovari yang berperanan mengeluarkan mukus.
Papiloma
Proliferasi yang berlaku pada sel epitelium permukaan membentuk cuaran atau unjuran yang akhirnya menjadi kompleks. Pertumbuhan melibatkan tisu penyokong dan salur darah. Contohnya mudah dijumpai pada kulit luar seperti struktur ketuat . Papiloma berkemungkinan juga tumbuh dalam duktus seperti pada payudara dengan struktur yang lebih kompleks.
Walau bagaimanapun, terdapat struktur yang dikenali sebagai polip adenomatus yang terhasil daripada gabungan kedua-dua bentuk adenoma dan papiloma. Ini yang berlaku dalam salur usus ataupun dalam pundi hempedu.
TUMOR TISU PERANTARA RINGKAS
Tumor jenis ini berlaku pada tisu perantara tubuh yang telah mengalami pembezaan seperti tisu serat, rawan, tulang, otot dan tisu lemak. Hampir semuanya berbentuk sfera atau berlobul, berkapsul dan bersifat menekan tisu sekeliling. Contoh-contoh tumor yang terlibat ialah fibroma, kondroma, lipoma dan miyoma.
Fibroma
Fibroma adalah sejenis tumor yang amat jarang terjadi dan boleh ditemui dalam tisu subkutan, ovari, renal dan peritoneum. Pelbagai ciri didapati, bergantung kepada kolagen dan darjah selular yang dimiliki. Jenis yang putih dan pejal mempunyai banyak bahan serat kolagen yang kasar. Biasanya jumlah sel putih sedikit dan saiznya agak kecil. Terdapat juga sel yang lebih besar dengan bahan kolagen licin yang mencukupi untuk memberi tekstur yang lebih lembut.
Kondroma
Kondroma terdiri daripada dua bentuk iaitu enkondroma pelbagai dan enkondroma tunggal. Enkondroma pelbagai adalah sejenis bahan rawan yang ditemui pada kanak-kanak, terutamanya pada tulang rawan anggota. Pertumbuhannya berkurangan seiring dengan peningkatan usia dan akhirnya susut. Enkondroma pelbagai berkembang secara luar biasa berbanding neoplasma yang sebenar. Walau bagaimanapun, enkondroma tunggal berkemungkinan kembali tumbuh membentuk malignan. Fenomena ini boleh dilihat pada pesakit penyakit Ollier.
Enkondroma tunggal terbentuk pada bahagian metakarpal atau falanga pada jari. Enkondroma tunggal muncul pada permukaan atau bahagian dalam tulang dengan bahagian tengah yang agak lembut dipenuhi cecair perang . Pertumbuhannya adalah secara proliferasi dan transformasi metaplastik pada kapsul fibrosit.
bersambung ke bahagian 2