Cancer news

Sunday, May 4, 2008

BARAH OTAK - bahagian 2

Lipoma

Proliferasi sel adipos biasanya berlaku di kalangan individu pertengahan umur dan lebih kerap dijumpai dalam tisu subkutan bahu, punggung dan tangan. Sel itu mungkin juga terdapat di ruang peritoneum yang berhubung rapat dengan renal tetapi amat jarang ditemui dalam organ tunggal. Sel adipos berkemungkinan menular ke dalam tisu sekeliling yang boleh menyebabkan proses penyingkiran menjadi lebih sukar.

Miyoma

Kebiasaannya miyoma muncul dalam uterus, berbentuk bulat bermula dari miometrium. Miyoma adalah sejenis tumor ringkas pada otot licin (leiomiyoma) dan sasarannya pada uterus. Berkemungkinan miyoma menular ke ruang uterin membentuk polip dan akhirnya muncul di bahagian serus atau permukaannya.

Bahagian sasaran lain adalah di salur gastro-usus, prostat, ovari dan pepundi kencing. Miyoma yang mengandungi komponen serat yang tinggi, seperti di uterus, lebih dikenali sebagai fibroid.


TUMOR EPITELIUM MALIGNAN

Mengikut pengkelasan tumor epitelium malignan dikenali sebagai karsinoma. Pengkelasan dibuat berdasarkan bentuk yang agak berbeza dan luar biasa berbanding normal dengan cara penyebaran setempat. Beberapa jenis karsinoma telah dikenal pasti.

Karsinoma in situ

Juga dikenali neoplasma intraepitelium, karsinoma ini mempamerkan tahap atau tahap perantaraan untuk menghasilkan kanser. Sel kanser ini tidak menembusi tisu di sekitarnya walaupun bentuk sitologi malignannya amat jelas. Karsinoma in situ seringkali ditemui di persimpangan ekto dan endoserviks dan karsinoma intraduktal pada payudara.

Sel pramalignan yang terhasil boleh berubah menjadi normal tetapi kebiasaannya menjadi malignan dan menembusi tisu di sekitarnya yang lebih dikenali sebagai karsinoma mikroinvasif, contohnya dalam kanser serviks pada tahap awal.

Karsinoma Sel Skuama

Karsinoma sel skuama berlaku pada kulit terutamanya pada permukaan yang terdedah kepada sinaran ultra lembayung tetapi juga muncul pada tempat yang terlindung seperti lapisan epitelium skuama vagina, larink, esofagus dan lidah. Karsinoma sel skuama berlaku juga pada organ tunggal seperti paru-paru.

Permukaan yang diselaputi epitelium jenis kelenjar juga mempunyai risiko yang sama kerana berlakunya transformasi metaplastik dalam uterus, serviks dan pundi hempedu.

Karsinoma Sel Asas

Tumor jenis ini wujud pada mana-mana bahagian kulit tetapi kebiasaannya pada bahagian muka, berhampiran mata, hidung dan mulut. Tahap pertama bermula dengan kehadiran papiloma yang rata beransur-ansur membesar dalam jangka masa yang lama. Tahap kedua permukaannya terbenam ke dalam, membentuk lubang diikuti dengan pembentukan ulser. Contoh karsinoma sel asas yang membentuk ulser pada bahagian muka.

Karsinoma Organ Berkelenjar

Karsinoma organ berkelenjar kerap kali berasal daripada kelenjar asinus, duktus atau epitelium kelenjar pada permukaan membran mukosa. Struktur anatominya wujud dalam pelbagai bentuk. Contoh karsinoma pada organ berkelenjar.

Melanoma Malignan

Proliferasi malignan pada melanosit yang berlaku secara de novo disebut melanoma malignan. Contoh melanoma malignan pada kulit, jenis malignan lentigo. Sementara skema bagi fasa pertumbuhan radial malignan melanoma jenis penyebaran superfisial.

Pendedahan kulit secara berpanjangan kepada cahaya matahari memainkan peranan yang penting membentuk melanoma akut atau kronik.

1. Secara akut : menyebabkan kesan terbakar (seringkali berlaku pada orang muda).

2. Secara kronik : mengambil masa beberapa tahun.

KANSER OTAK

Berdasarkan kajian pakar perubatan tempatan, kanser otak boleh berlaku pada keseluruhan penduduk di bandar ataupun luar bandar. Jumlah kes penyakit ini meningkat berbanding lima tahun terdahulu. Apa yang menjadi persoalannya ialah: di Malaysia, didapati kes kanser jenis ini lebih ketara di kalangan orang Melayu berbanding bangsa lain. Walau bagaimanapun, disebabkan pertambahan yang berlaku di kalangan pegawai perubatan dan pakar dalam bidang urat saraf, lebih ramai pasakit dapat dirawat. Kemudahan rawatan dari segi peralatan mengesan yang terkini dan tercanggih dapat memberi imej tiga dimensi tanpa risiko besar seperti alat pengdiagnosan berkomputer, membolehkan penyakit tersebut dapat dikesan di tahap awal.

TANDA PENYAKIT KANSER OTAK

Tanda-tanda awal adalah sakit kepala, muntah atau loya, kabur penglihatan, lumpuh atau anggota tubuh agak lemah berbanding sebelumnya, mudah lupa, cara bercakap yang berlainan dan terkena sawan. Mereka yang mengalami sakit kepala yang kuat terutamanya pada waktu pagi perlu menjalani rawatan doktor sama ada menjalani ujian sinar-X, komputer tomografi otak dan imej magnetik resonan otak.

Sementara penglihatan kabur mungkin disebabkan oleh berlaku proses kompleks yang menyebabkan otak membengkak dan akhirnya menekan ke atas saraf mata. Ini membawa kepada proses pemusnahan urat mata dan secara tidak langsung penglihatan menjadi rosak sehingga berkemungkinan menjadi buta.

Lumpuh boleh berlaku apabila saraf anggota tertentu tertekan atau dimusnahkan oleh kanser. Lumpuh sebelah kanan mungkin berpunca daripada ketumbuhan sebelah kiri dan sebaliknya. Adakala kanser ini boleh disembuhkan dengan ubat antibengkak.

Perubahan kelakuan dan ingatan memberikan tanda kanser otak berlaku pada tempat tertentu. Manakala, sawan berlaku pada mereka yang mempunyai kesemua tanda-tanda di atas. Rawatan secepat mungkin boleh membantu.

JENIS KANSER OTAK

Kanser otak diklasifikasikan kepada beberapa kategori untuk memberi kemudahan kepada doktor melaksanakan rawatan seperti:

1. Kanser yang amat berbahaya. Contohnya : kanser daripada tisu glial.

2. Kanser sederhana. Contohnya : kanser daripada tisu oligodendrosit.

3. Kanser yang mempunyai aktiviti minimum.

Ginekomastia

Ginekomastia adalah fenomena perkembangan buah dada pada lelaki. Kejadian ini banyak berlaku pada kanak-kanak lelaki ketika waktu kematangan mula dicapai. Ginekomastia adalah komplikasi daripada terapi estrogen, dan juga berlaku dalam penghidap hipotiroidisma, hipertiroidisme dan sirhosis hati. Mereka seringkali menghadapi keadaan yang nisbah plasma estrogen : androgen tinggi.

Morfologi ginekomastia adalah sama dengan hipertropi juvanil. Ginekomastia pada orang dewasa biasanya berasosiasi dengan penyakit hati atau dengan kanser paru-paru. Sindrom Klinefelter juga didapati berasosiasi dengan ginekomastia. Sindrom ini turut didapati berasosiasi dengan pengambilan dadah merbahaya seperti marijuana, amfitamin dan heroin.

Tumor Kuku

Penyebab bagi lesi jenis ini yang berlaku di sekeliling atau di bahagian bawah kuku ialah kesan daripada infeksi, trauma, penyakit sistik, pertumbuhan berlebihan vaskular dan benigna serta akibat hiperplasia malignan pelbagai tisu. Dengan pelbagai pengecualian, pencirian klinikal bagi lesi yang berbeza adalah bertindihan.

Walau bagaimanapun, hanya dua contoh lesi tumor kuku yang akan dibincangkan. Ketuat ialah contoh bagi benigna, akibat daripada infeksi oleh papillomavirus manusia, sejenis organisma yang tidak berganda secara in intro tetapi boleh dikesan melalui teknik rekombinan DNA dan imunohistokimia. Infeksi biasanya berlaku apabila virus masuk melalui bahagian kulit yang mengalami trauma ke bahagian stratum korneum dan stratum granulasom.

Mereka yang gemar menggigit kuku lebih cenderung mendapat ketuat periungual. Melambatkan proses rawatan serta jarang membasuh tangan akan menggalakkan infeksi tersebut sehingga membawa kepada pembentukan pelbagai ketuat. Ketuat berkemungkinan menyusut secara spontan tanpa rawatan. Pilihan rawatan yang efektif ialah kemoterapi dengan keratolitik dan agen sitotoksik, krioterapi, pembedahan dan imunoterapi.

Sementara itu, daripada tumor malignan yang ditemui pada kawasan subungual, karsinoma sel skuama subungual adalah yang paling biasa berlaku. Karsinoma pada bahagian isi kuku seringkali tersalah diagnos kerana lesi kronik yang lain seperti aktinik keratosis, kesan terbakar, calar trauma dan radiodermatis, kesemuanya melitupi kanser kulit. Sesetengah penyelidik membuat hipotesis mekanisma yang menyebabkan proliferasi sel dalam karsinoma sel skuama in situ berkemungkinan sama dengan penyebab ketuat.

Lesi lain yang hampir menyerupai karsinoma sel skuama ialah piogenik granuloma, tumor glomus, sifilitik kanker, osteomeielitis kronik, keratoakantoma, melanoma, fibroma dan lesi herpetik. Memandangkan kebanyakan jenis tumor mungkin disalah anggap sebagai karsinoma sel skuama, maka biopsi adalah perlu untuk mengdiagnos secara tepat. Pembedahan Mohs ialah rawatan yang terbaik. Memandangkan keadaan metastasis amatlah jarang, maka pembedahan radikal dimestikan hanya jika bahagian tulang terlibat.

KEIMUNAN TERHADAP TUMOR

Sejak kebelakangan ini, penyelidikan terhadap kanser atau tumor daripada aspek gerak balas imun semakin diberi perhatian. Pakar kanser melakukan penyelidikan secara aktif ke atas dua bidang yang berbeza iaitu peranan gerak balas imun dalam penghapusan kanser dan bagaimana sel kanser boleh terus hidup dan membahagi dalam tubuh perumah pada keadaan tertentu.

Penyebaran sel malignan ke dalam sel normal akan mengganggu fungsi sel di samping menular ke dalam aliran darah atau sistem limfa. Keupayaannya untuk menular ke seluruh bahagian organisma menjadi faktor yang paling merbahaya dan menjadi penyebab utama kematian. Memandangkan sel kanser berbeza daripada sel normal dari aspek keantigenan dengan penentu antigen yang unik, maka bukanlah sesuatu yang menghairankan sekiranya sel tumor atau sel kanser dikenali oleh sistem imun perumah dan seterusnya memberikan mekanisma keimunan yang dapat menghapuskan sel tersebut dari tubuh perumah.

Hidupan yang normal biasanya mempunyai sistem imun untuk melindungi diri daripada infeksi organisma asing. Tanpa sistem imun ini, manusia tidak boleh hidup lama. Antibodi imun mesti berupaya mengesan dan mengenal pasti bahan asing yang bersifat berlawanan dengan natif organisma itu sendiri. Proses pengenalpastian ini merupakan satu fungsi asas bagi Kompleks Histokompatibiliti Major (MHC). Selepas kompleks MHC mengenal pasti dan menganggap sesuatu bahan sebagai bahan asing, sistem imun badan (Sistem Autoimun) akan mengambil alih secara otomatik untuk menghapuskan ‘penceroboh’ yang hadir. Tindakan sel B dan sel T, MF, Interferon a, b dan sel d serta sel interleukin I, II dan III serta faktor yang berhubungan dengan sistem imun seperti limfokin dan kedua-dua monokin dan sitokin bekerjasama untuk mengenal pasti dan menghapuskan penceroboh luar daripada mengancam tubuh.

Malangnya, memandangkan sel kanser berasal daripada sel perumah, maka sel itu mengandungi semua informasi organisma perumah dan perumah tidak mengenali sel kanser sebagai sesuatu yang berbahaya. Dengan itu tidak akan memberikan sebarang tentangan. Berdasarkan sains perubatan moden, mustahil bagi kita mengubah suai sel kanser supaya sistem imun tubuh semula jadi boleh menentangnya. Pada masa yang sama, dalam kajian hubungan antara imunologi dengan tumor wujud dua hal yang perlu dipertimbangkan iaitu:

1. Sistem keimunan yang berfungsi mengawal sel tumor dengan mengecam serta memusnahkan sel tumor sebelum ianya sempat tumbuh menjadi tumor yang besar.

2. Kaedah imunoterapi yang berkemungkinan menjadi rawatan yang berkesan kepada penyakit kanser.

CIRI SEL TUMOR

Sel tumor yang dikulturkan di atas permukaan slaid tidak akan menghasilkan fenomena perencatan sentuhan, iaitu persentuhan permukaan sel dengan sel jiran yang masing-masing tidak menyebabkan mitosis berhenti sebagaimana berlaku dalam sel normal. Sebaliknya sel itu akan terus menjelajah dan membahagi sehingga bertindih-tindih menghasilkan beberapa lapisan sel. Dipercayai terdapatnya antigen baru, iaitu antigen transplantasi tumor pada permukaan sel tumor yang mengaruh sel tersebut untuk terus membahagi secara tidak terkawal.

Kehadiran antigen baru yang lebih dikenali sebagai antigen spesifik tumor adalah berbeza bagi setiap tumor bergantung kepada jenis agen penyebabnya. Sebagaimana kanser yang disebabkan oleh bahan kimia karsinogen, antigen spesifik tumor juga berbeza kerana karsinogen yang berlainan. Antigen juga adalah berbeza sekiranya tumor itu disebabkan oleh bahan kimia yang sama tetapi dalam perumah yang berlainan.

Antigen kedua yang terdapat pada permukaan sel kanser dikenali sebagai antigen karsinoembrionik. Ianya adalah antigen yang sedia wujud dalam sel perumah kanser dan pernah muncul pada permukaan sel normal semasa individu atau haiwan berada di peringkat embrio. Perkembangan embrio menyebabkan sintesis antigen berkenaan direncat sehingga hilang dari permukaan sel individu dewasa.

Walau bagaimanapun, ungkapan gen untuk antigen berlaku kembali bagi individu penghidap kanser dan dapat dikesan melalui serum pesakit. Namun demikian, kaedah tersebut tidak lagi digunakan untuk mengdiagnosis kanser kerana penyakit yang tidak berkaitan dengan kanser juga dapat mengakibatkan kewujudan antigen yang sama dalam serum pesakit.

Mekanisma Kemandirian Sel Tumor

Penularan tumor atau kanser di dalam tubuh membuktikan sel tumor memiliki keupayaan untuk mengelak sistem keimunan tubuh. Mekanisma ini dipercayai melibatkan pelbagai cara yang berbeza, antaranya:

1. Mengelak pengecaman oleh sistem imun seperti melindungi antigen transplantasi tumor dengan selaput sialomusin, atau menghasilkan antigen dalam kepekatan atau ketumpatan yang rendah di permukaan sel serta menghasilkan antigen yang mempunyai imunogenisiti yang rendah.

2. Menindas gerak balas imun dengan membebaskan antigen dalam jumlah yang besar yang berfungsi sebagai faktor perintang yang menghalang gerak balas sistem keimunan terhadap tumor tersebut.

3. Mengambil peluang ketika sistem imun perumah tidak cekap atau lemah seperti dalam keadaan imunodefisiensi yang sering dialami oleh pesakit kanser akibat pelbagai faktor seperti pembedahan dan rawatan dengan dadah sitotoksik dan sinar-X.

Mengelak Pengecaman Sistem Imun
Menindas Gerak Balas Imun Perumah
Mengambil Peluang Ketika Sistem Imun Lemah
Gerak Balas Imun Terhadap Tumor

Type & search

Formula One

Breaking News

recent posts

Grab this Widget