Cancer news

Thursday, April 12, 2007

Azam pesakit kanser tawan puncak Aconcagua

KALA kisah ini tersiar, Rene’e Aziz Ahmad dan rombongannya telah memulakan pendakian untuk menawan Gunung Aconcagua di Argentina.

Tiada siapa boleh meramalkan kehebatan wanita ini, bekas penghidap kanser payu dara yang kini terus bangkit melawan penyakit itu tanpa rasa takut.

“Mati selepas mencuba lebih baik kerana itu bernilai dan bermaruah daripada kita mati dan tidak mencuba apa-apa,’’ tegas dan jelas perkataan yang terlontar dari bibir Rene’e dalam pertemuan di Lapanganterbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berangkat ke Argentina, baru-baru ini.

Baginya, penyakit pembunuh itu bukan bermakna penamat kehidupan tetapi memberi makna yang lebih besar.

“Kecewa disahkan kanser adalah lumrah sebagai insan kerdil di sisi-Nya, namun kita perlu kuatkan hati dengan menjalani rawatan dengan tabah. Selesai rawatan, hidup perlu diteruskan dan pesakit perlu melakukan sesuatu yang memberi lebih makna dalam sebuah kehidupan,’’ tuturnya tenang.

Rene’e 45, bekas pesakit kanser yang cekal dan tabah ini sentiasa ceria dan aktif malah sesiapa sahaja yang mendampinginya turut terkena tempias aura yang sentiasa positif.

Disahkan menghidap kanser payu dara pada Oktober 2001 dan selesai menjalani rawatan kemoterapi selepas melakukan pembedahan membuang sebelah payu daranya, Rene’e berjaya melawan perasaan ketakutan yang bersarang dalam minda.

“Lepas lima tahun saya masih tidak menganggap terlepas daripada kanser kerana bila-bila masa sahaja ia boleh menyerang semula tetapi saya perlu melakukan sesuatu untuk dibanggakan dalam hidup ini.

“Bagi wanita berkeluarga, mungkin impian lebih fokus kepada kejayaan anak-anak tetapi bagi saya yang masih sendirian ini, pencapaian diri lebih utama,’’ katanya

Lantaran itu, Rene’e berusaha meningkatkan tahap keyakinan diri dengan mencabar keupayaan melakukan sesuatu yang dapat dibanggakan.

Bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi kejayaan dapat dikongsi dengan rakyat Malaysia.

Rene’e yang aktif mendaki gunung sebelum disahkan menghidap kanser payu dara memang gemarkan aktiviti lasak.

Mengotakan impiannya, beliau nekad ke Argentina untuk menawan puncak gunung Aconcagua.

Gunung setinggi 6,959 meter itu merupakan tertinggi di Barat dan Selatan Hemisfera dan terletak berhampiran dengan sempadan Chile.

Rene’e tidak keseorangan kerana lima peserta bersedia menemaninya yang tiga daripadanya pendaki lelaki.

“Wanita kini lebih beruntung kerana sentiasa mendapat sokongan daripada lelaki walaupun derita kanser payu dara dilalui oleh kebanyakan wanita.

“Kesedaran beginilah yang ingin dikekalkan dalam masyarakat supaya pesakit tidak berasa putus asa, terhina atau dipinggirkan suami selepas disahkan kanser,’’ katanya.

Wanita yang dilahirkan di Alor Star, Kedah tetapi dibesarkan di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur ini ingin mengajak wanita yang pernah menghidap kanser payu dara bangkit melawan penyakit.

“Hapuskan pemikiran lapuk dan trauma berkaitan kanser dan kikis anggapan perasaan wanita tidak boleh hidup dengan sebelah payu dara.

“Juga bimbang suami tidak lagi menyayangi dan anak-anak berubah hati sedangkan perlu diingat mereka tetap manusia yang sama dan perlu terus hidup.

“Pesakit juga boleh histeria apabila mengenangkan jarum dan suntikan demi suntikan ketika menjalani kemoterapi. Lebih dahsyat lagi jika mengenangkan rambut gugur dan segala-galanya diragut dalam sekelip mata.

“Ubah persepsi tersebut sebaliknya jalani hidup dengan normal malah tingkatkan pencapaian,’’ nasihatnya.

Ekpedisi yang digelar Climb with PRIDE-Aconcagua 2007 itu ditaja oleh Eau Claire, PLUS Expressway Bhd., Telekom Malaysia Bhd., Powerbar, CoreZone and Air Asia dan Las Lenas sebuah resort di Argentina.

Berkongsi pengalaman, Rene’e berkata, selepas menjalani rawatan kemoterapi, beliau bagaikan melalui fasa hidup yang baru.

Walaupun disahkan penghidap kanser dan menjalani rutin rawatan yang menyakitkan namun ia tidak menjadi kudis dan merencatkan aktiviti.

“Saya ingin menjadi sumber inspirasi dan menyuntik motivasi kepada pesakit kanser supaya terus berjuang melawan penyakit dan sentiasa positif dan menganggap kanser bukan noktah hidup,’’ katanya dengan mata bercahaya.

Katanya persiapan untuk ekspedisi menawan Aconcagua memberinya makna yang lebih tentang hidup dan menguji ketahanan fizikal dan mental.

“Mendaki Aconcagua merupakan peluang yang cukup baik untuk membangkitkan kesedaran masyarakat dan menggalakkan pesakit kanser menerima cabaran yang baru dalam hidup.

“Selepas menjalani seribu kepayahan, kegetiran dan ketakutan ketika menjalani rawatan, inilah saatnya untuk membuktikan kita juga mampu menempuh ujian dan cabaran lebih hebat.

Ditanya apakah yang paling ditakuti sepanjang ekspedisi itu nanti, Rene’e tersenyum penuh makna.

“Ketinggian, itu yang paling saya bimbangkan kerana pendaki akan berhadapan dengan pelbagai kesukaran termasuk cuaca yang amat sejuk.

“Bagaimanapun saya yakin akan mampu menawan gunung Aconcagua walaupun tidak berjaya sampai ke puncak.

“Bagi saya sampai ke puncak bukan keutamaan walaupun ia menjadi impian tetapi semangat kerjasama dalam pasukan lebih penting.

“Jika bukan saya, diharap salah seorang daripada kami akan berjaya sampai ke puncak untuk membuktikan Malaysia juga boleh,’’ katanya bersemangat.

Sempena ekspedisi tersebut, satu majlis dianjurkan oleh Pink Ribbon Deeds (PRIDE) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang baru-baru ini dengan dihadiri oleh tetamu istimewa, Azrene Abdullah selaku pengerusi PRIDE.

Turut hadir penaja utama Eau Claire Mineral Water Sdn Bhd, Tan Sri Datuk Seri A.P Arumugam sebagai pengerusi dan beberapa badan korporat yang turut menjadi penaja, ahli keluarga pendaki dan sahabat handai yang ingin merestui pemergian mereka.

Melalui ekspedisi, PRIDE berharap mampu menyampaikan mesej agar apa yang dilakukan akan mencetus inspirasi kepada semua bekas pesakit kanser dan mereka yang masih menderitainya.

“Kegigihan kumpulan pendaki ini diharap mendapat restu daripada semua ahli keluarga, teman-teman agar kejayaan menjadi milik mereka dan kita rakyat Malaysia,’’ kata Azrene.

INFO EKPEDISI CLIMB WITH PRIDE-ACONCAGUA 2007

* Ekspedisi selama 26 hari bermula dari 14 Januari hingga 9 Febuari 2006 dengan perjalanan bermula dan berakhir di Mendoza, Argentina.

* Jangkaan perjalanan meliputi waktu perjalanan dari Kuala Lumpur, latihan asas serta waktu pendakian.

* Acongua, gunung setinggi 6,959 meter itu merupakan tertinggi di Barat dan Selatan Hemisfera

* Terletak di Argentina dan berhampiran sempadan Chile.

* Puncak gunung tidak bersalji tetapi dilitupi glasier yang luas.

* Cuaca terlampau sejuk dan ribut menyukarkan pendakian.

*INFO PENDAKI

RENE’E AZIZ AHMAD

* Mengetuai ekspedisi Climb with PRIDE Aconcagua 2007.

* Disahkan kanser payu dara Oktober 2001, beliau menjalani kemoterapi selama sembilan bulan sebelum disahkan pulih.

* Berjaya mendaki Gunung Rinjani, Indonesia (2006), Gunung Kilimanjaro, Gunung Tanzania (2005), Laluan Mesilau, Gunung Kinabalu (April dan Disember 2004) dan Laluan Pintu Timpohan, Gunung Kinabalu (2004)

* Rene’e adalah Penolong Pengurus Besar di PLUS Expressways Berhad

* Beliau bangga dengan pencapaiannya namun berharap khalayak memberikan galakan dan inspirasi kepada wanita yang menghidap kanser payu dara.

STEPHANIE CHOK Bte CHOK KUI ENG

* Bekas penuntut Universiti Malaya, Kuala Lumpur dan pemegang Ijazah dalam Sains Sukan.

* Menjalani latihan sebagai perundingi bagi membantu atlet dari segi fizikal, mental dan emosi dan mendapat pendedahan sebagai kaunselor, motivator, pelatih mental dan psikologi di Majlis Sukan Negara (Jun 2005 -Jun 2996) dan Pusat Akuatik Negara.

* Menyertai sukan SEA 2001 dalam lumba triatlon dan duatlon.

* Pernah menakluk gunung Angsi (2001), Gunung Nuang (2002), Gua Tempurung (2004), Gunung Wulong Chogqing (2005) dan lebih 10 kali sampai ke puncak Gunung Kinabalu (1994-2005)

* Datuk, nenek, ibu saudara meninggal dunia akibat kanser.

* Mendapat sokongan ahli keluarga terutama ayahnya Chok Kui Eng.

KHAIRUL ARIFFIN IBRAHIM

* Pengurus Kualiti Insurans di SapuraCrest Petroleum Bhd.

* Minat mendalam dalam aktiviti mendaki gunung dan berjaya menawan gunung Kilimanjaro, Tanzania, dan Gunung Rinjani, Indonesia, Gunung Rugapehu, dan beberapa buah gunung di New Zealand termasuk gunung Ruaehu, gunung Mangaweka, gunung Holdsworth, gunung Hector dan The Mitre.

l Berharap penyertaan dalam ekpedisi Climb with PRIDE untuk meningkatkan kesedaran mengenai kanser payu dara.

HARUN RAHMAN

* Pembikin filem lebih 15 tahun terutama dalam dokumentari, hidupan liar dan pengembaraan.

* Pernah memenangi Anugerah Dokumentari Terbaik 2005 dalam Festival Filem Malaysia bertajuk Temengor-Biodiversity in the Face of Danger, Anugerah Videografi Terbaik 2004 bertajuk Kuala Gula Bird Sactuary dan menghasilkan siri dokumentari, Malaysia Truly Asia.

l Berkahwin dengan Lara Ariffin dan mempunyai dua anak Ilsa Ameera, 11, dan Alysha Ameera, 9 tahun.

* Pembantu kepada programAustralia’s OceanEnviroment’s, 24 jam menyelam di Maldive dan 24 Hours Beneath A Rainbow Sea yang berkaitan dengan National Geographic Asia.

* Memerlukan tahap stamina berganda kerana selain mendaki, beliau turut merakamkan setiap aktiviti pendakian sebagai mewakili saluran Astro. Rakaman berkaitan akan disiarkan secara bersiri pada akhir bulan Mac 2007.

* Dua lagi peserta ialah Kapten Zabil Ihram Zainol dan Shereen Affendy Lee.

Type & search

Formula One

Breaking News

recent posts

Grab this Widget