Cancer news

Tuesday, March 20, 2007

Pembedahan Rekonstruktif Buah Dada

DILEMA yang sering dihadapi oleh pesakit kanser buah dada ialah apabila rawatan penyakit itu menuntut supaya buah dada yang diserang kanser dibuang.

Bagi wanita, kehilangan buah dada adalah satu trauma dalam kehidupan. Sehubungan itu, ada sebahagian besar wanita sanggup memilih meneruskan hidup dengan kanser biarpun terpaksa menggadai nyawa. Namun, masih ada cara untuk membantu mengurangkan tekanan psikologi yang dihadapi oleh pesakit yang tidak mempunyai pilihan lain dalam menangani penyakit itu.



Pembedahan mastektomi rekonstruktif kini memberi harapan baru kepada pesakit-pesakit kanser buah dada. Ia merupakan kaedah terbaru pembedahan membuang dan membuat buah dada secara serentak.

Melalui prosedur ini, keseluruhan buah dada yang mempunyai sel-sel kanser akan dibuang. Pada masa yang sama, buah dada yang baru dibentuk semula melalui kaedah tampalan menggunakan kulit pesakit sendiri.

Penyelaras Unit Sains Rekonstruktif dan Pakar Bedah Plastik Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Prof. Madya Dr. Ahmad Sukari Halim berkata, sejak kaedah rawatan itu diperkenalkan dua tahun lalu oleh HUSM, sebanyak sepuluh pembedahan telah dilakukan.


Menurut beliau, kaedah yang dilakukan secara serentak itu bertujuan untuk mengurangkan kesan psikologi yang dihadapi oleh pesakit.

``Pesakit yang kehilangan buah dada sebenarnya mengalami pelbagai tekanan perasaan.

``Pembuangan salah satu buah dada menyebabkan mereka seolah-olah menjadi individu yang cacat dari aspek kewanitaan,'' ujarnya.

Dr. Ahmad Sukari memberitahu, teknik tampalan buah dada baru menggunakan kulit dan lemak pesakit itu 90 peratus menyerupai bentuk buah dada asal. Menurutnya, kulit perut adalah bahagian tubuh yang terbaik kerana ia mempunyai saluran arteri dan vena.

Berbeza dengan kaedah pembedahan biasa sebelum ini, seseorang pesakit perlu menunggu antara satu hingga dua bulan selepas luka pembedahan sembuh sebelum buah dada baru dapat dibentuk. Secara tidak langsung, prosedur pembedahan yang dilakukan secara serentak itu dapat membantu mengurangkan tekanan perasaan pesakit. Pembedahan menggunakan teknik itu mengambil masa kira-kira 11 jam. Proses penyembuhan adalah kurang daripada satu tahun.

Selain Malaysia, prosedur itu juga telah diguna pakai di Singapura, Australia, Jepun, Amerika Syarikat dan beberapa buah negara di Eropah.

Selain Dr. Ahmad Sukari yang mengetuai pembedahan di HUSM, pasukan itu turut dibantu oleh Dr. Wan Azman Wan Sulaiman, Dr. Aravazhi Ananda Dorai, Dr. Subash Nair, Dr. Mohd. Ali Mat Zain dan Dr. Oomen George.

Satu pembedahan dilakukan di HUSM Kubang Kerian baru-baru ini. Ia turut disertai oleh Pakar Bedah Jabatan Surgeri, Dr. Ahmad Zahari Zakaria dan Dr. Lewellyn Rajakumar. Selain itu, mereka dibantu oleh pakar bius Dr. Gnander Phutane dan Dr. Hamizad Omar bersama-sama dengan jururawat dan juga staf sokongan.

Dr. Ahmad Sukari tidak menafikan prosedur itu agak rumit kerana ia membabitkan penyambungan pembuluh darah yang halus antara buah dada baru dan dada.

``Penyambungan pembuluh darah ini membolehkan tampalan kulit perut pada dada itu dapat hidup seperti biasa,'' ujarnya.

``Pesakit juga akan menjalani sesi kaunseling sebelum dan selepas pembedahan supaya dia tidak merasakan dirinya seperti cacat.

``Rawatan kemoterapi terhadap pesakit pula bergantung kepada pakar,'' katanya.

Prosedur penyambungan saraf atau saraf erotik pula hanya dilakukan sekiranya ada permintaan daripada pesakit.

Misteri kanser buah dada

Kanser buah dada merupakan pembunuh utama wanita di seluruh dunia. Berdasarkan kajian, kira-kira 70 peratus kes kanser buah dada berlaku tanpa disedari. Tiada wanita yang terkecuali daripada berdepan dengan penyakit ini.

``Sesiapa pun terdedah dengan risiko ini walaupun individu terbabit tidak mempunyai sejarah ahli keluarga yang pernah menghidap kanser tersebut,'' katanya.

Dianggarkan 20 peratus penghidap kanser buah dada mempunyai sejarah keluarga yang turut menjadi mangsa kanser, iaitu di kalangan ibu atau adik-beradik.

``Sepuluh peratus lagi kes berdasarkan faktor keturunan,'' kata Dr. Ahmad Sukari.

Mereka yang kerap terdedah kepada penyakit itu ialah wanita yang berusia melebihi 40 tahun.
Apa yang memelikkan, sehingga kini punca utama berlaku kanser buah dada masih menjadi misteri.

Perkataan kanser berasal daripada bahasa latin bermakna ketam.

Pada umumnya kanser juga dikaitkan dengan faktor keturunan, ubat-ubatan, hormon, radiasi, bahan kimia, virus, bakteria dan ketagihan alkohol. Di Malaysia sebanyak 2,321 kes kanser buah dada dikesan pada tahun 1993. Pada tahun berikutnya, statistik mencatatkan peningkatan kepada 3,153 kes.

Purata umur pesakit yang terlibat ialah di antara 60 hingga 61 tahun.

Di Amerika Syarikat (AS) pula, dianggarkan 1:9-11 wanita negara itu menghidap kanser buah dada. Bilangan itu dikatakan bertambah pada kadar 1.5 peratus setiap tahun.

Pada 1994, statistik kanser buah dada di AS mencatatkan sebanyak 182,000 kes kanser buah dada yang baru dilaporkan. Berdasarkan kepada satu kajian lain, kira-kira 80 hingga 90 peratus kes kanser buah dada dikesan oleh pesakit sendiri.

Proses pembedahan mastektomi rekonstruktif

* Buah dada pesakit mula ditoreh dengan pisau untuk proses membuangnya. Sebelum pembedahan, pakar akan menanda dan menyekat beberapa pembuluh darah utama

* Bahagian bawah perut pesakit dipotong. Sebahagian pangkal buah dada dibuang dan bahagian kulit perut yang diperlukan diambil. Beberapa bahagian pembuluh darah disekat bagi mengelak pendarahan

* Buah dada yang mempunyai sel-sel kanser dikeluarkan. Kelenjar ketiak dan bahagian yang dipotong dibersihkan. Bahagian bawah perut yang dipotong dipisahkan dan dibersihkan. Pakar mula mengenal pasti salur dan pembuluh darah untuk tujuan penyambungan

* Ukuran lemak kulit diambil untuk disesuaikan pada kawasan lompong (bahagian yang dipotong). Proses pembedahan mikro dibuat untuk menyambung pembuluh dan salur darah utama. Jarum bersaiz diameter 75 mikron digunakan

* Alat ultrasound digunakan untuk memeriksa aliran darah masuk dan keluar pada pembuluh-pembuluh darah yang telah disambung. Proses menjahit kulit dalam dan luar bermula

* Pada peringkat ini struktur buah dada baru mula terbentuk. Doktor kemudian mengalihkan jahitan pada perut termasuk pembentukan pusat baru. Pada peringkat ini proses dilakukan dengan amat teliti

* Lapisan kulit dijahit satu demi satu. Sebatang tiub panjang diletakkan untuk tujuan mengesan sebarang pendarahan dalaman

* Pesakit juga dibiarkan seketika bagi tujuan mengetahui perkembangan aliran darah pada pembuluh dan salur darah yang telah disambung. Pembentukan lubang pusat baru mengikut kesesuaian tubuh pesakit dibuat. Pada peringkat ini bahagian perut pesakit kelihatan ramping

* Bahagian dada pesakit mula menjalani prosedur pembentukan dan pengubahsuaian mengikut saiz buah dada asal. Bahagian baru itu menjalani banyak proses dalam prosedur pembentukan itu.

Pembentukan buah dada baru selesai. Alat ultrasound dipasang semula bagi memeriksa aliran darah pada bahagian buah dada baru tersebut.

Prosedur mastektomi rekonstruktif selesai.

Type & search

Formula One

Breaking News

recent posts

Grab this Widget