Cancer news

Thursday, April 19, 2007

‘Saya lawan kanser untuk lihat anak membesar depan mata’

KUALA LUMPUR 30 Jan. – ‘‘Selama tiga tahun saya berusaha melawan kanser semata-mata untuk melihat anak-anak membesar di depan mata sendiri.

‘‘Saya tidak mahu kehilangan mereka. Suami tidak pernah menyingkirkan saya ketika saya mengalami tekanan yang cukup hebat,’’ akui Rosmawati Mohd. Yusoff, 41, selepas mendapati penyakit kanser payu dara yang ditanggungnya sejak 2004 semakin pulih.

Bagi wanita ini, kehidupan yang dinikmatinya kini jauh lebih berharga memandangkan suami, anak-anak dan adik-beradiknya sentiasa berada di sampingnya

memberi sokongan padu yang tidak berbelah bagi.

Menurut Rosmawati, hidupnya kini lebih ceria dan semua tekanan yang dialami selama ini hilang.

‘‘Saya gembira mengusahakan kedai basikal bersama suami di rumah kami,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini menyiarkan kisah Rosmawati yang ditemani suaminya, Kamarulbahrain Shaharudin, 42, berbasikal sejauh 12 kilometer setiap hari di sekitar kawasan kediamannya di Padang Serai, Kedah. Hasil riadah yang menjadi rutin hidup sehariannya, kanser peringkat keempat yang dikesan pada tahun 2004 beransur sembuh ke peringkat kedua.

Rosmawati kini hanya perlu menjalani pemeriksaan kesihatan sekali setiap enam bulan.

Menurut Rosmawati, kesan daripada rawatan kemoterapi yang dijalani, rambutnya gugur.

“Wajah saya menjadi gelap hingga saya menyangka suami akan pergi meninggalkan saya keseorangan,” katanya.

Namun, sangkaan itu ternyata meleset apabila Kamarulbahrain mengambil keputusan berhenti kerja sebagai juruteknik sebuah syarikat swasta demi menguruskan kebajikan isterinya.

Sejak itu, Kamarulbahrain turut menjalankan tanggungjawab menjaga keperluan harian dan persekolahan empat anak mereka iaitu Khairul Anwar, 15, Nurashikin, 13, Nuratasya, 9 dan Nurfatin, 7.

‘‘Hasil perbualan dengan rakan-rakan dan rujukan dengan doktor, dia (suami) mengambil keputusan mengajak saya mengayuh basikal setiap pagi.

‘‘Dalam keadaan saya yang lemah kesan daripada rawatan kemoterapi, dia tidak pernah memaksa.

‘‘Saat-saat berkayuh basikal dengannya setiap pagi adalah detik-detik yang cukup menyentuh perasaan. Saya melihat bahawa dia seorang suami yang penyabar,’’ cerita Rosmawati yang berasal dari Jelutong, Pulau Pinang.

Type & search

Formula One

Breaking News

recent posts

Grab this Widget