Cancer news

Monday, March 5, 2007

Pusat sumber kanser payu dara PPUM

KANSER payu dara merupakan penyakit utama dunia dan dianggarkan 1.15 juta wanita di seluruh dunia menghidap kanser itu. Jumlah penghidap penyakit tersebut semakin meningkat.

Data-data yang diperoleh dalam satu kajian yang dijalankan oleh Agensi bagi Penyelidikan Kanser (Globocan 2002) sedikit sebanyak pasti memberi amaran kepada kita khususnya golongan wanita untuk sentiasa berjaga-jaga terhadap kanser payu dara. Data-data itu seharusnya memberikan kesedaran kepada semua pihak tentang bahaya kanser payu dara.

Pada 2003, seramai 3,800 wanita telah direkodkan menghidap kanser payu dara di negara ini.

Bagaimanapun, nisbah risiko wanita di negara ini menghidap kanser payu dara masih rendah iaitu seorang dalam setiap 20 orang, berbanding di United Kingdom iaitu seorang dalam setiap 18 orang.

Dalam usaha untuk menangani penyakit dan membantu wanita yang menghidap kanser payu dara, Pusat Sumber Kanser Payu Dara telah ditubuhkan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Terletak di Tingkat 6 C, Menara Utama PPUM, Petaling Jaya, pusat sumber yang dibina dengan tajaan RM100,000 daripada Avon Malaysia itu bakal menempatkan ruang kaunseling, bilik pemeriksaan dan pusat sumber maklumat berkomputer yang lengkap dengan rujukan serta peralatan canggih seperti Inspection and Palpation of Breast Cancer Training Model dan Lymphatic Massage Apparatus.

Pusat sumber itu juga berfungsi sebagai pusat sebaran maklumat, tempat mengadakan aktiviti berkumpulan dan pusat rujukan kanser payu dara. Pusat sumber berkenaan dikendalikan oleh kakitangan Jabatan Surgeri PPUM yang diketuai oleh Pakar Perunding Bedah, Profesor Yip Cheng Har dengan dibantu oleh Pakar Bedah, Dr. Nur Aishah Mohd. Taib dan Pakar Jururawat Klinikal (Surgeri) dari Perkhidmatan Pesakit Dalaman, Amerah Abd. Rahman.

Pusat sumber tajaan Avon itu bakal memberikan maklumat yang diperlukan kepada pesakit-pesakit baru yang disahkan menghidap kanser payu dara, memberi info tentang penyakit itu kepada keluarga pesakit, menyampaikan maklumat kepada masyarakat, bertindak sebagai pusat sokongan kanser payu dara, pusat koordinasi rawatan kanser payu dara dan sebagainya. Satu majlis memeterai perjanjian penajaan pusat sumber berkenaan antara PPUM dan Avon Malaysia telah diadakan di PPUM di Petaling Jaya baru-baru ini.

Menurut Pengarah PPUM, Profesor Datuk Dr. Mohd. Amin Jalaludin, sejarah perawatan kanser payu dara di PPUM telah bermula dengan penubuhan kliniknya pada 1993. Pada tahun itu seramai 90 orang pesakit telah menerima rawatan dan bilangan tersebut kini telah bertambah kepada 300 pesakit pada tahun 2004.

Mohd. Amin berharap penubuhan pusat sumber itu dapat memberikan peluang kepada pesakit kanser payu dara untuk mendapatkan maklumat dan khidmat kaunseling mengenai penyakit mereka. "Selain itu, persekitaran hospital yang mesra juga dapat merapatkan perhubungan pesakit dengan hospital. Hubungan itu adalah elemen penting kepada pesakit yang membantu mereka membuat keputusan dalam mendapatkan rawatan pemulihan,'' katanya.

Menurut Mohd. Amin, dalam usaha untuk membantu pesakit-pesakit membiayai kos rawatan mereka pada tahun 2003, Tabung Kanser Payu Dara telah ditubuhkan di PPUM. Namun, katanya, peruntukan daripada tabung itu masih tidak mencukupi untuk membantu pesakit yang kurang mampu. Peruntukan itu agak kecil dan tiada sumbangan dari luar.

"Peruntukan yang diberikan oleh pihak Avon ini sekurang-kurangnya dapat membantu pihak pengurusan PPUM menawarkan perkhidmatan rawatan dan nasihat kepada pesakit-pesakit kanser payu dara yang amat memerlukan bantuan,'' katanya.

Presiden Avon Malaysia, Mansoor Wan Abdullah berkata, kejayaan Avon Malaysia dan PPUM memeterai perjanjian penajaan Pusat Sumber Kanser Payu Dara berkenaan merupakan hasil kutipan daripada Kempen Kiss Good-Bye To Breast Cancer (KGBC) 2004 yang dijalankan melalui jualan barangan premium KGBC oleh lebih 300,000 wakil Avon di seluruh negara.

Kempen KGBC telah berjaya mencapai sasaran jualan serta menyedarkan masyarakat terutama wanita tentang bahaya kanser payu dara. Mansoor berkata, kempen itu menggalakkan wanita supaya melakukan pemeriksaan sendiri payu dara serta mengamalkan gaya hidup sihat.

"Pada pertengahan tahun ini, Avon telah menerima kertas cadangan PPUM yang mencari penaja untuk membiayai sebuah pusat sumber kanser payu dara. "Justeru, Avon telah bersetuju dengan kertas cadangan PPUM itu untuk mengadakan satu tempat kaunseling bagi pesakit serta keluarga mereka selepas didiagnosis menghidap kanser payu dara,'' katanya.

Type & search

Formula One

Breaking News

recent posts

Grab this Widget