``KAMI tidak akan berada di sini, jika diri sendiri tidak kuat, apalagi tanpa semangat dan sokongan ahli keluarga, teman-teman serta masyarakat. ``Selepas bebas daripada penyakit paling menakutkan itu, tidak akan ada apa-apa lagi yang menghalang kami daripada melakukan sebarang aktiviti seperti orang lain,'' kata Ranjit Kaur.
Ranjit adalah salah seorang daripada 25 bekas pesakit kanser payu dara yang terpilih menyertai pertunjukan fesyen sempena majlis makan malam amal `'Walk With Pride`, pada 31 Julai depan.
Ditanya usia, sambil ketawa kecil Ranjit berkata,usianya baru tujuh tahun (merujuk kepada tempoh dia bebas daripada penyakit pembunuh wanita nombor satu itu). Sebab itu azam dan semangatnya semakin tinggi. Justeru katanya yang juga Presiden Persatuan Kebajikan Kanser Payu Dara, terpilih bagi menjayakan majlis tersebut benar-benar membuat diri berasa begitu dihargai.
Pada pertunjukan fesyen itu, Ranjit dan rakan-rakan akan memperagakan fesyen rekaan lapan pereka tempatan dan luar negara.
Bagi Siew Mei Quin, yang bebas daripada kanser payu dara sejak dua tahun lalu, program seperti ini memberi peluang kepada mereka untuk lebih menonjolkan diri dalam pelbagai kegiatan. Ini terutamanya bagi mengikis tanggapan sesetengah wanita, khusus kepada pesakit baru yang menganggap kehidupan mereka akan berakhir.
Aktiviti
``Apa yang diharapkan ialah lebih banyak kegiatan melibatkan bekas pesakit diadakan bagi memastikan golongan ini benar-benar dihargai,'' ujar Eksekutif Kewangan di sebuah syarikat swasta ibu negara itu.
Pendapat Siew turut dipersetujui, Betty Gomez, ibu kepada anak berusia sembilan dan tujuh tahun. Bagi surirumah ini, terpilih menjayakan program tersebut amat menggembirakan lebih-lebih lagi baginya yang baru sahaja bebas daripada kanser payu dara sejak dua tahun lalu.
``Ia memberi pengalaman berharga kepada saya,'' ujarnya yang baru berjinak-jinak menyertai aktiviti anjuran Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM).
Bagi ibu kepada lima anak, Lucianna Jambari, menyertai program anjuran Pride bukan semata-mata untuk berseronok, lebih penting memberi harapan kepada bekas pesakit sepertinya.
``Sekurang-kurangnya, insan seperti kami dapat meneruskan kehidupan ini dengan lebih tabah selepas apa yang menimpa,'' ujarnya yang bebas daripada penyakit itu sejak lapan tahun lalu.
Sementara itu, Pengerusi Pride, Azrene Abdullah, menerangkan, majlis tersebut juga menjadi motivasi kepada mereka supaya tidak berputus asa dan terus berjuang menentang barah payu dara. Pertunjukan fesyen itu turut berseri dengan kehadiran Wanita Pertama Britain, Cherie Blair, yang juga Pengerusi Breast Cancer Car United Kingdom.
Majlis yang akan diadakan di Hotel J.W. Marriot itu diharap menyuntik semangat pesakit kanser payu dara tempatan untuk meneruskan kehidupan.
``Lebih penting, majlis tersebut menyedarkan orang ramai, agar tidak meminggirkan bekas pesakit ini di samping menanam kesedaran bahawa kanser payu bukanlah penamat kepada kehidupan mereka,'' ujarnya.