Cancer news

Saturday, March 10, 2007

Dana payudara tiruan pesakit kanser

APABILA doktor menjelaskan faedah jangka panjang rawatan kanser payudara yang jauh mengatasi ketidakselesaan sementara, pesakit meminta untuk berbincang dengan ahli keluarga terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.

Mereka pulang ke rumah dan tidak kembali lagi ke hospital kerana lebih percayakan bomoh @ dukun @ pawang yang mendakwa, ia akibat terkena buatan orang atau tersampuk. Maka bermulalah upacara mengubat bagi menghalau semangat jahat atau kuasa ghaib yang telah masuk ke dalam tubuh sehingga menyebabkan gejala-gejala ketumbuhan pada pesakit.

Pelbagai ramuan digunakan terutamanya dalam bentuk herba.

Tidak kurang juga bomoh yang tidak bertauliah dan tidak mempunyai apa-apa pengetahuan tentang kanser ini merawat dengan cara mengurut. Akibatnya, benjolan boleh pecah disebabkan oleh tekanan berterusan dan berlebihan lalu menyebabkan sel-sel kanser merebak ke dalam saluran darah, jadi tambah melarat.

Saya masih ingat kata-kata seorang pakar perunding bedah di Johor Bahru, Johor dua tahun lalu: “Bila sudah sampai ke tahap lewat dan tidak boleh buat apa-apa, akhirnya mereka datang juga ke hospital dengan terpaksa berpapah dan berusung.

“Apa yang menyedihkan, kes-kes begini banyak berlaku kepada orang Melayu. Jangan terperanjat jika saya katakan, kebanyakannya juga terdiri daripada golongan profesional muda.’’

Secara logiknya, memang jauh benar tersasar bunyinya – bomoh dan kanser? – tetapi percayalah, kepercayaan terhadap bomoh masih bertapak dan terus membudaya dalam kalangan masyarakat Melayu.

Kekecewaan ini dikongsi bersama oleh Ketua Jabatan Surgeri, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof. Dr. Yip Cheng Har pada majlis penyerahan cek Kiss Good Bye To Breast Cancer (KGBC) oleh Avon untuk Tabung Prostesis Payudara, Pusat Sumber Kanser Payudara, PPUM di Kuala Lumpur, baru-baru ini:

“Berdasarkan perangkaan terkini PPUM (2004), sebanyak 40 peratus pesakit kanser payudara Melayu mendapatkan rawatan apabila penyakit sudah berada di tahap lewat.

“Kebanyakan daripada mereka memilih rawatan tradisional semasa kanser berada di tahap awal dengan janji-janji manis untuk pulih sepenuhnya, tidak menyakitkan dan tanpa pembedahan,’’ kata beliau.

Menurutnya, sebagai perbandingan, hanya 15 peratus pesakit Cina yang datang ke hospital pada peringkat ketiga dan keempat penyakit itu manakala India, 18 peratus.

Prof. Yip tidak menafikan, terdapat juga pesakit Cina yang berjumpa sinseh atau tabib Cina untuk mendapatkan rawatan secara tradisional “Tetapi, majoritinya adalah Melayu,’’ jelasnya.

Maka, tidak hairanlah sekiranya pesakit Melayu mempunyai tempoh hayat yang lebih rendah iaitu 46 peratus berbanding pesakit Cina (63 peratus) dan India (57 peratus) - disebabkan oleh pengesanan dan rawatan yang lambat.

Walhal, Daftar Kanser Negara melaporkan kanser payudara biasa berlaku dalam kalangan pesakit Cina sekitar 59.7 bagi setiap 100,000 penduduk, 55.8 pesakit India dan 33.9 pesakit Melayu.

Paten yang sama dapat dilihat di PPUM dengan 62 peratus pesakit adalah Cina, 21 peratus Melayu dan 16 peratus India.

Avon derma RM100,000 untuk Tabung Prostesis Payudara

Sejumlah RM100,000 telah disalurkan oleh Avon kepada Pusat Sumber Kanser Payudara PPUM bagi meringankan beban bekas pesakit kanser yang berpendapatan rendah atau tidak mampu menanggung kos penuh untuk membeli prostesis payudara atau payudara tiruan dan pakaian dalam khas setelah menjalani pembedahan mastektomi.

Cek diterima oleh Pro-Canselor Universiti Malaya, Toh Puan Datuk Dr. Aishah Ong daripada Pengarah Jualan Avon Malaysia, Omar Mat Noor di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dana RM100,000 itu merupakan hasil kutipan jualan KGBC rantai tangan berbentuk hati berjuntai pada Ogos 2005 daripada 300,000 wakil Avon menerusi 175 butik kecantikan Avon di seluruh negara.

Permohonan bagi dana ini hendaklah dibuat melalui Pegawai Perubatan Kebajikan dan Sosial PPUM yang mana setiap permohonan perlu diproses dengan teliti bagi memastikan mereka yang layak sahaja mendapat keistimewaan ini.

Permohonan untuk tabung ini juga tidak terhad kepada bekas pesakit yang mendapat rawatan di PPUM sahaja tetapi terbuka kepada bekas pesakit lain berstatus warganegara yang memerlukan dan layak.

Mengulas lanjut, Prof. Yip berkata, prostesis payudara memberikan sokongan fizikal dan emosi kepada para pesakit yang menjalani pembedahan pembuangan sepenuhnya payudara.

“Daripada 300 kes kanser payudara di PPUM, sebanyak 240 menjalani mastektomi dan cuma sebahagian kecil sahaja memilih pembentukan semula payudara.

“Bukan semua orang mampu menggunakan prostesis kerana harganya yang agak mahal di antara RM400 hingga RM500 manakala coli untuk prostesis berharga RM100 dan RM200,’’ ujar beliau.

Projek kemasyarakatan sedunia Avon telah dilaksanakan sejak tahun 1994 lagi melalui pelancaran Kesan Barah Awal (Kebal) dan kemudiannya ditukar menjadi KGBC pada Ogos 2002 dengan jualan edisi khas gincu Avon Color.

Melalui jualan tersebut, Avon Malaysia berjaya mendermakan Hospital Putrajaya dengan Sistem Biopsi Payudara Mammotome bernilai RM250,000 pada tahun 2003.

Bagi tahun ini, dana KGBC telah dilancarkan dengan jualan Be Kissable Purse Concentrate pada Jun lalu dan Pin Reben Kristal KGBC pada Ogos.

Hadir sama pada majlis tersebut, seorang bekas pesakit kanser payudara dari Jepun, Junko Yagi yang dalam rangka lawatan khusus untuk mempromosikaan Global Connection Pink Ribbon Tour anjuran Yayasan Avon, New York, Amerika Syarikat.

Beliau dalam ucapannya menekankan tentang pentingnya kesedaran mengenai kanser itu, pengesanan awal dan gaya hidup sihat. Perubahan gaya hidup dan pemakanan dipercayai menjadi punca peningkatan sekali ganda jumlah kematian sebanyak 10,524 pada tahun 2004 akibat kanser payudara berbanding 20 tahun lalu.

Avon Malaysia akan turut mengambil bahagian dalam menjayakan program kesedaran kanser payudara sedunia ini dengan menghantar dua wakil dari Persatuan Kebajikan Kanser Payudara iaitu Norsafleah @ Salhani Mohd Salleh ke Nagasaki, Jepun dan Ranjit Kaur ke New York pada Oktober, ini.

Type & search

Formula One

Breaking News

recent posts

Grab this Widget