Apabila seseorang wanita itu telah disahkan menghidap kanser payu dara, maka selalunya pandangan negatif mereka ialah terhadap kehidupan yang bakal dilalui.
Bagi mereka apabila ini berlaku maka tiada lagi harapan untuk meneruskan hidup dan membatas pergaulan.
Bagaimanapun, semua realiti hidup seperti itu mampu dikikis menerusi cara pemikiran yang lebih positif dan fokus.
Bermula dengan semangat jitu seperti itu, sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Pride bersama-sama dengan Yayasan Budi Penyayang (Penyayang) dan Persatuan Alumni Universiti Bristol berpadu tenaga mengadakan sebuah majlis khusus untuk golongan penghidap kanser payu dara.
Pride yang merupakan akronim bagi `Pink Ribbon Deeds' yang dipengerusikan oleh Azrene Abdullah merupakan sebuah persatuan yang terlibat dalam membawa kempen kesedaran mengenai kanser payu dara.
Majlis yang dinamakan `Walk With Pride' itu merupakan majlis sambutan kehidupan bagi para pesakit kanser atau bekas pesakit berkenaan.
Tujuan murni majlis ini yang dijangka akan diadakan pada 31 Julai 2005 ialah untuk mengumpul dana menerusi Penyayang yang akan digunakan dalam meneruskan usaha-usaha kempen kesedaran mengenai kanser payu dara.
Pada masa yang sama, dana terkumpul akan digunakan untuk meningkatkan rawatan, mutu piawaian diagnosis bagi mereka yang terlibat dengan penyakit ini dan juga cara penjagaan yang terbaik bagi pesakit kanser.
Antara aktiviti yang diadakan pada acara berkenaan ialah jamuan makan malam amal dan pertunjukan fesyen.
Apa yang uniknya, pertunjukan fesyen berkenaan dijangka akan dilakukan oleh lebih 15 orang wanita yang pernah menghidap atau berpengalaman dalam kanser payu dara.
Penaung majlis berkenaan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Endon Mahmood baru-baru ini berkata, ilham untuk mengadakan aktiviti seperti itu timbul selepas beliau menghadiri majlis sambutan Jubli Perak Breast Cancer Care di London, pada bulan Oktober lalu.
Menariknya, pada waktu itu terdapat acara pertunjukan fesyen istimewa yang diperagakan oleh individu yang mempunyai masalah atau menghidap kanser payu dara.
``Mereka ini merupakan simbol keutuhan jiwa luar biasa, yang berani meneruskan hidup walaupun berhadapan dengan penyakit tersebut.
``Saya sendiri yang pernah mengalami penyakit ini mendapati aktiviti seperti ini mempunyai kekuatan tersendiri dalam mengendalikan diri meneruskan perjuangan untuk kehidupan. Hanya menerusi sokongan yang diberikan oleh keluarga kami mendapat kekuatan,'' kata Endon pada sidang media majlis berkenaan baru-baru ini.
Beliau memberitahu, betapa pentingnya para pesakit kanser untuk hidup dalam keadaan emosi positif sebagai salah satu kaedah terapi yang diterima dengan minda yang betul.
Sementara itu dalam majlis yang sama Azrene berkata, pada pertunjukan fesyen di London itu, kebanyakan penghidap kanser payu dara merasa bangga dengan kisah mereka bertahan dengan kehidupan yang dilalui.
``Mereka memperagakan fesyen dengan rasa penuh bertenaga, semua menonton menyokong mereka terutama daripada ahli keluarga dan pesakit-pesakit lain.
``Mereka melakukannya dengan penuh semangat, sokongan yang berterusan dan galakan positif daripada masyarakat sekeliling. Pada ketika itu mereka tidak keseorangan dan semuanya datang memberikan galakan, mesej itu yang ingin kami bawa kepada semua masyarakat di negara ini menerusi aktiviti seperti ini,'' katanya.
Justeru Azrene, berharap agar semua pihak memberikan kerjasama, terutamanya penyertaan daripada pesakit-pesakit kanser untuk menjayakan aktiviti berkenaan.
Sekiranya inginkan maklumat lanjut, mereka boleh menghubungi talian Penyayang, 03-23003300.