Cancer news

Friday, January 12, 2007

Ubat baru rawat kanser dicipta

KEPALA BATAS 23 Jan. – Pakar-pakar perubatan dari Institut Perubatan dan Pergigian Termaju Universiti Sains Malaysia (IPPT-USM) berjaya mencipta ubat dalam bentuk pil dan kapsul yang dihasilkan daripada bunga Kemuning Cina, dipercayai dapat membunuh sel kanser.

Timbalan Pengarah IPPT (Perkhidmatan Klinik) Dr. Narazah Mohd. Yusoff berkata, keberkesanan ubat tersebut ke atas manusia dijangka dapat diketahui dalam tempoh lima tahun lagi.

Menurutnya, kajian menunjukkan abstrak bunga tersebut mengandungi bahan-bahan yang boleh membunuh sel kanser terutamanya kanser payu dara.

‘‘Pada waktu ini ubat tersebut masih di peringkat uji kaji terhadap haiwan dan jika didapati berkesan, kita akan mencubanya kepada manusia sebagai satu lagi ubat yang boleh membunuh sel-sel kanser,” katanya pada sidang akhbar di IPPT-USM di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah IPPT-USM, Dr. Ramli Saad.

Narazah memberitahu, bunga tersebut selama ini diketahui secara tradisional boleh mengubat penyakit kanser namun tiada penyelidikan saintifik dilakukan ke atasnya selain yang dihasilkan oleh IPPT.

Beliau berkata, kajian terhadap khasiat bunga tersebut kini memasuki tahun ketiga dengan dikendalikan oleh Timbalan Pengarah Penyelidikan IPPT-USM, Prof. Madya Ishak Mat di bawah tajaan Majlis Kanser Nasional (Makna) menerusi geran sebanyak RM300,000.

‘‘Kajian itu kini dalam fasa kedua dan jika berkesan, ia mampu dijadikan ubat pembunuh sel kanser untuk mengatasi kanser payu dara yang merupakan penyakit pembunuh utama wanita di seluruh dunia,” katanya.

Narazah berkata, IPPT juga sedang menjalankan pelbagai kajian perubatan kanser dan setakat ini telah menerima 268 orang pesakit dengan tiga daripada mereka disahkan menghidap kanser payu dara.

‘‘Kebanyakan pesakit itu kini ditempatkan di Hospital Kepala Batas dan mereka sedang diberi rawatan pakar oleh pihak institut di hospital itu,” katanya.

Terdahulu, Ramli berkata, pihaknya mempelawa orang ramai yang mahu menjalani pemeriksaan kesihatan supaya datang ke pusat itu yang kini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan yang terbaru.

‘‘Di sini kita memeriksa kesihatan dan menjalankan kajian penyakit serta mencipta ubat yang bersesuaian dengan penyakit itu dan ia adalah percuma,” katanya.

Beliau berkata, IPPT-USM yang kini terletak di bangunan sementara akan berpindah ke tapak miliknya sendiri seluas hampir 50 hektar di Bertam.

Menurutnya, kos keseluruhan pembinaan bangunan itu serta penyediaan kelengkapan makmal, wad serta peralatan perubatan adalah sebanyak RM958 juta.

Ramli berkata, projek pembinaan keseluruhan bangunan itu dijangka siap pada tahun 2010 dan pusat itu mampu menjalankan 150 jenis penyelidikan.

Ia termasuklah penyelidikan mengenai onkologi, kardiovaskular, perubatan integrasi, penyakit berjangkit, sains neuro, sains tingkahlaku, imunalogi, sains oral, perubatan transtusi, perubatan nuklear, toksikologi klinikal dan keracunan.

Beliau berkata, setakat ini sebanyak 80 peratus pelajar pasca siswazahnya adalah pelajar asing dan kebanyakannya dari negara-negara Asia Barat.

‘‘IPPT adalah sebuah pusat kajian perubatan yang terunggul di dunia kerana institut itu mempunyai tiga elemen iaitu mengkaji penyakit, mencipta ubat untuk penyakit dengan menjalani ujian klinikal dan merawat pesakit,” jelasnya.

Beliau berkata, berdasarkan kajian pakar-pakar perubatan dunia, sebanyak 80 peratus dari bahan farmaseutikal asli di dunia berada di Malaysia dan Borneo.

Type & search

Formula One

Breaking News

recent posts

Grab this Widget