Cancer news

Monday, January 1, 2007

Kanser payu dara Rosmawati makin pulih dengan berbasikal

KUALA LUMPUR 28 Jan. – Setiap pagi, Kamarulbahrain Shaharuddin menemani isterinya, Rosmawati Mohd Yusoff, berbasikal sejauh 12 kilometer di sekitar kawasan kediaman mereka di Padang Serai, Kedah.

Sesekali Kamarulbahrain, 42, memperlahankan kayuhan untuk membolehkan Rosmawati, 41, merapatinya. Sesekali mereka berhenti untuk berehat atau bersembang dengan rakan taulan yang bertanya khabar.

Bagi kayuhan sejauh itu, mereka mengambil masa empat jam, tempoh yang lama tetapi satu usaha yang amat bermakna bagi pasangan tersebut kerana rutin harian mereka itu telah membantu Rosmawati mengurangkan derita penyakit kanser payu dara yang dialami sejak 2004.

Hasil riadah berbasikal itu, kanser peringkat keempat dari peringkat ketiga ketika dikesan pada 2004, sudah pun beransur baik ke peringkat kedua sekarang, sehinggakan Rosmawati kini hanya perlu menjalankan pemeriksaan kesihatan sekali setiap enam bulan.

‘‘Saya korbankan 22 tahun kerjaya saya sebagai seorang juruteknik di sebuah kilang semata-mata membantu isteri saya untuk memulihkan kembali semangatnya,’’ kata Kamarulbahrain ketika ditemu bual di Program Penghargaan buat Sukarelawan Majlis Kanser Negara (Makna) di sini hari ini.

Kamarulbahrain yang kini seorang peniaga basikal, menggalakkan isterinya untuk bangun seawal 7 pagi setiap hari untuk berbasikal bagi mengeluarkan toksin yang terkumpul di dalam tubuh hasil rawatan kemoterapi melalui peluh.

‘‘Peluh yang keluar semasa isteri saya berbasikal mengeluarkan bau agak kurang menyenangkan. Ia berpunca daripada ubat-ubatan kemoterapi yang pernah dia jalani,’’ kata Kamarulbahrain, yang menambah seorang doktor pakar pernah memberitahunya bahawa sememangnya sukar bagi seorang penghidap kanser peringkat akhir untuk pulih ke peringkat kedua.

Pasangan yang mempunyai empat orang anak itu merupakan anggota Makna serta sukarelawan yang membantu pesakit kanser di seluruh negara dengan memberi harapan serta sokongan dari segi kewangan dan sentiasa mengubah mentaliti pesakit kanser daripada negatif ke positif.

Pada majlis yang sama, Makna telah mengadakan program penghargaan buat sukarelawannya yang bertemakan Perkongsian Saat-Saat Istimewa yang telah berlangsung selama dua hari bermula semalam.

Program yang pertama diadakan bertujuan meraikan sukarelawan yang telah banyak menabur bakti membantu Makna dan ia turut dihadiri Presiden Makna, Datuk Mohd Farid Ariffin.

– Bernama

Type & search

Formula One

Breaking News

recent posts

Grab this Widget